Ada orang menyangka ibadah itu sekadar rukuk dan sujud di tikar
sembahyang. Atau mengalunkan ayat-ayat Al Quran dengan penuh khusyuk
dan tawadhuk. Atau menggentel biji tasbih dengan berzikir dan bertahmid.
Atau sekadar membahagi-bahagikan harta kepada fakir miskin.
Ibadah
itu luas pengertiannya. Seluas lautan yang tak bertepi. Ibadah tidak
terbatas pada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat. Ia tidak terbatas
pada puasa sunat seperti puasa Nabi Daud; sehari berpuasa sehari
berbuka. Pun tidak dikhususkan kepada membayar zakat, menunaikan haji
dan sebagainya.
Ibadah adalah pengabdian diri kepada Allah. Dan
antara bentuk pengabdian diri yang tidak ketara dan tidak perlu
mengeluarkan tenaga ialah ingatan hati dan rintihan hati kepada Allah.
Ia merupakan ibadah yang besar nilainya di sisi Allah. Mudah tetapi
tidak ramai yang mampu melakukannya.Mengingati
Allah dikira ibadah kerana ia menandakan seorang hamba itu benar-benar
berhati hamba. Hamba yang tak punya apa-apa. Yang sewaktu datang ke
dunia, tak membawa walau seurat benang di tubuh. Justeru hati sentiasa
ingat kepada Yang Maha Pencipta, sentiasa mengharap bantuan-Nya dan
sentiasa bergantung kepadaNya. MengingatiNya menimbulkan rasa syukur
atas segala nikmat kurniaanNya.
Namun
berapa kerat di antara kita yang ingat akan Allah. Ramai yang lalai dan
lupa. Dalam sembahyang, fikiran menerawang entah ke mana. Apatah lagi di
luar sembahyang. Renungilah sabda kekasihNya dalam sebuah hadis Qudsi
yang bermaksud:
“Wahai anak Adam! Jika engkau ingat kepadaKu, Aku
juga tetap ingat kepadamu. Dan jika engkau lupa kepadaKu, Aku masih
ingat terus kepadamu. Apabila engkau taat kepadaKu, maka pergilah ke
mana saja yang engkau suka, di tempat engkau mematuhiKu dan Aku
mematuhimu,
dan engkau mengikhlaskan kecintaanKu kepadamu, kemudian engkau
memalingkan diri daripadaKu, sedang Aku tetap mengambil berat
terhadapmu. Siapakah
yang memberimu makan sewaktu engkau masih janin
di dalam perut ibumu. Aku tetap menguruskan segala keperluanmu dengan
baik, sehingga terlaksana semua
takdirKu terhadapmu. Apabila Aku
lahirkan engkau ke alam dunia, engkau lalu membuat maksiat. Bukan begini
sewajarnya balasanmu terhadap siapa yang berbuat baik
kepadamu.”
Memang
wajar kita mengingati Allah yang telah banyak memberi nikmat kepada
kita. Allah yang sentiasa ingat akan kita. Yang terus saja memerhatikan
kita. Yang terus mengasihani kita. Yang terus memberi rezeki kepada kita
walaupun Dia seringkali diderhakai.
Dengan apa patut kita balas
nikmat Allah yang terlalu banyak itu. Ibarat orang yang sedang bercinta,
cukuplah asal dikenang atau diingati orang yang dicintai. Begitu juga
dengan Allah. Ingatlah Dia kemana kita pergi. Ingat akan Allah bukan
semestinya di tikar sembahyang saja. Biar tubuh bersama manusia tetapi
hati bersama Allah. Agar setiap detik kita sentiasa dalam ibadah.
Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“berfikir sesaat itu lebih baik daripada sembahyang sunat seribu rakaat (yang tidak khusyuk).”
Demikian
keutamaan bagi orang yang sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah.
Akal yang berfikir akan meruntun hati agar sentiasa ingat kepada Allah.
Apabila hati selalu mengingatiNya, terasa betapa hampirnya Allah dengan kita. Hati akan selalu
bermunajat
dengan Allah; menginsafi kelemahan diri, lantas mengharap belas kasihan
Allah kepada kita yang terlalu banyak berbuat dosa. Hati merintih dan
mengharap rahmat Allah yang maha luas itu. Datanglah perasaan betapa
hinanya diri yang berasal dari setitik
air mani. Tanpa rahmatnya tinggallah kita dalam kehinaan selama-lamanya.
Rintihan
hati inilah tanda kita hamba yang tak punya kuasa apa-apa untuk
menghalang kudrat dan iradahNya. Tak berupaya menepis Qadak dan
QadarNya. Hanya belas kasihan Allah yang diharapkan dapat menjauhkan
diri daripada segala bala bencana. Hati yang tidak pernah
ingat, apalagi merintih kepada Allah, adalah hati seorang tuan.
Adakalanya
segaja Allah timpakan ujian yang berat ke atas hambaNya. Ketika itu
hati si hamba akan merintih walaupun bibir boleh mengukir senyum.
Kadang-kadang ujian datang silih berganti; seolah-olah Allah tidak
mendengar rintihan hati hambaNya.
Sebenarnya, Allah rindu untuk
mendengar rintihan hati si hamba. Tanpa ujian, hati tidak ingat Allah
dan ia berasa tenteram, hingga hilanglah rasa kehambaan daripada dalam
diri. Lalu kerana itu, Allah datangkan ujian silih berganti agar
rintihan hati si hamba tidak terputus kepada Tuhannya.
Hukama
berkata: “Allah lebih suka mendengar rintihan hamba yang berdosa
(termasuk rintihan hati) daripadaseorang abid yang duduk beribadah.”
Demikian
tingginya nilai rintihan hati seorang hamba dibandingkan dengan ibadah
lahir. Ibadah lahir belum tentu melahirkan rasa kehambaan, kerana boleh
jadi seorang yang beribadah itu berasa selamat denganibadahnya.
Ingatan
hati dan rintihan hati seorang insan terhadap Tuhannya datang daripada
rasa kehambaan yang tulen. Rasa kehambaan inilah tanda seorang insan
telah
mendapat nikmat iman yang tinggi nilainya. Tiada sesuatu yang
lebih berharga daripada nikmat iman. Beruntunglah mereka yang
dianugerahi nikmat ini. hanya hamba-hambaNya yang terpilih saja yang
akan dikurniairasa kehambaan.
Seorang hamba yang hatinya sentiasa
ingat dan merintih kepada Allah tidak bangga dengan nikmat, tidak
gelisah dengan bala, tidak rasa tenang dengan pujian, dan tidak
menderita dengan kejian. Hati sentiasa merasa serba kekurangan dan amat
memerlukan Allah dalam semua keadaan. Inilah yang dikatakan hati yang
hidup, yang sentiasa dalam beribadah. Apatah lagi jika ditambah dengan
banyaknya ibadah lahir seperti sembahyang, puasa, sedekah dan
sebagainya; makin tinggilah darjatsi hamba di sisi Khaliqnya.
Sumber : http://sufiroad.blogspot.com/2011/11/sufi-road-rintihan-hati.html
Tidak ada komentar:
Posting Komentar